Halaman

Selasa, 2 Ogos 2011

LATIH ANAK BERPUASA

Latih kanak-kanak berpuasa ikut kemampuan


Sebuah hadis Nabi s.a.w. bermaksud: Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Agama Islam menjaga sifat semula jadi manusia. Kanak-kanak harus dilatih sejak kecil lagi supaya mahir melakukan ibadat dan taat kepada Allah s.w.t..

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Puasa juga dikira ibadat dan kewajipan seperti sembahyang. Kita wajib melatih anak-anak menunaikan ibadat ini.

Tahap umur berapakah latihan ini mesti dilakukan? Tidak semestinya semasa umur kanak-kanak itu tujuh tahun kerana puasa lebih susah daripada sembahyang. Terpulanglah kepada kemampuan kanak-kanak tersebut.

Jika bapa atau penjaganya mendapati kanak-kanak itu sudah mampu berpuasa, bolehlah dia melatih anaknya berpuasa beberapa hari pada setiap bulan, setahun demi setahun. Misalnya dalam setahun dia melatihnya berpuasa sebanyak tiga hari, pada tahun yang lain selama seminggu, seterusnya dua minggu dan sehingga sebulan penuh. Apabila dia telah baligh, dan ditaklifkan berpuasa, dia tidak lagi susah untuk mengerjakan puasa kerana sudah biasa dan mahir.

Inilah cara Islam melatih kanak-kanak sejak dari kecil lagi dengan adab-adab Islam dan kewajipan-kewajipannya.

Seorang penyair berkata, maksudnya:

Adab itu bermanfaat semasa kecil, ia tidak memberi faedah lagi ketika telah dewasa.

Dahan yang lembut mudah teguh bila dilentur...

Dan akan menjadi keras (tidak lembut) bila ia telah menjadi kayu.

Ibu bapa dan penjaga hendaklah membiasakan anak-anak mereka, sama ada lelaki atau perempuan, berpuasa dan sembahyang. Sembahyang diajar ketika umur mereka tujuh tahun dan jika enggan bersembahyang pada umur sepuluh tahun mereka hendaklah dipukul.

Puasa pula dilatih ketika mereka mampu melakukannya walaupun umur melebihi tujuh tahun. Penjaga seperti ayahnya boleh menyuruhnya berpuasa.









Petikan dan Sumber:
Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd..

Rabu, 27 Julai 2011

MASALAH PENGLIHATAN KANAK-KANAK

Rawatan Penglihatan Kanak-Kanak Afakia

Afakia adalah satu keadaan di mana mata telah kehilangan kanta kristalin yang asal (ketiadaan kanta mata) melalui pembedahan disebabkan oleh katarak (kanta kristalin berkabut).

Ia boleh berpunca sejak lahir, trauma ataupun bila bayi mempunyai penyakit sistemik. Kebiasaannya, jika dikesan semasa lahir, ia dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak kongenital merupakan opasti atau kekabutan pada kanta kristalin yang boleh menghalang penglihatan. Ia boleh mengakibatkan kekaburan penglihatan yang nyata ataupun secara total.

Katarak kongenital kebiasaannya berlaku pada kedua-dua belah mata (bilateral) manakala katarak yang disebabkan oleh trauma selalunya berlaku pada satu mata (unilateral).

Sekiranya katarak tidak dapat dikesan awal, ia boleh menyebabkan deprivasi/halangan penglihatan pada bayi. Ini berlaku disebabkan oleh pengurangan stimulus untuk penglihatan sehinggakan bayi mengalami tahap penglihatan yang rendah.

Komplikasi penglihatan yang dapat berlaku akibat pengurangan stimulus penglihatan di awal usia adalah ambliopia (mata malas), nistagmus (mata bergetar) dan juling.

Dengan tahap penglihatan yang rendah, secara tidak langsung boleh mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak dari segi motiliti dan juga keupayaan mengenal objek dan warna.

Rawatan atau rehabilitasi/pemulihan semula penglihatan bagi kanak-kanak afakia perlu disegerakan sejurus selepas pembedahan katarak dilakukan.

Ini amat penting untuk mengelakkan penglihatan kanak-kanak tersebut terbiar tanpa ada sebarang pembetulan refraksi.

Pembetulan refraksi/pembiasan diperlukan selepas pembedahan katarak. Ini kerana kanta kristalin yang dikeluarkan semasa surgeri sebenarnya berfungsi sebagai salah satu media refraksi yang membawa kuasa anggaran sebanyak 20D.

Apabila kanta ini dikeluarkan semasa surgeri, mata akan kehilangan kuasa akomodasi (untuk melihat dekat) sebanyak 20D.

Oleh itu, kuasa refraksi tambahan perlu dipasang di luar mata (dengan memakai kanta sentuh ataupun cermin mata) ataupun kanta palsu (kanta intraokular) dimasukkan ke dalam mata kanak-kanak semasa surgeri.

..
.

Sabtu, 23 Julai 2011

Jom Tonton

MENDIDIK ANAK DENGAN KASIH SAYANG


Mendidik anak dengan ikhlas, sungguh-sungguh dan penuh kasih sayang akan memberi kesan psikologi yang dalam kepada anak. Anak-anak yang dibesarkan dengan kasih sayang akan membesar diiringi perkembangan emosi yang stabil. Malah anak-anak lebih cenderung mentaati dan menghormati ibu bapa yang menggunakan pendekatan yang sedemikian.
Sebuah hadis Rasulullah s.w.t. bermaksud:
“Sesiapa yang tidak menyayangi manusia, maka dia tidak akan disayangi oleh Allah”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Anak perlu dibesarkan melalui kasih sayang lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Peringkat remaja merupakan fasa yang kritikal kerana banyak pengaruh luar sedang menarik perhatian mereka. Menurut kajian, persekitaran dan rakan lebih berpengaruh berbanding ibu bapa pada usia remaja. Oleh itu Ibu bapa perlu menzahirkan kasih sayang tetapi hendaklah dalam bentuk yang sesuai, dan bukan dengan kebendaan semata-mata bagi meraih pengaruh daripada anak-anak. Walau bagaimanapun tempoh masa amat diperlukan bagi menzahirkan betapa anda mencintai dan menghargai mereka dengan kasih sayang.

Jumaat, 15 Julai 2011

TAHUKAH ANDA?

Tidur Mesti Cukup

Kanak-kanak prasekolah yang tidur kurang daripada 10 jam sehari lebih berisiko mengalami masalah perilaku berbanding kanak-kanak yang tidur secukupnya. Menurut kajian yang telah dijalankan mendapati kanak-kanak yang kurang tidur adalah 25% lebih berpeluang mengalami masalah sikap. Jadi, jika anak anda tidak cukup tidur pada waktu malam, pastikan dia tidur pada waktu siang untuk membantunya mendapat tidur yang cukup.

Cukup atau Tidak?

Jika bayi anda membuang air kecil (dengan air kencing yang berwarna cerah) dan membuang air besar (dengan najis ang bewarna kuning terang) sekurang-kurangnya 5 hingga 7 kali sehari, ini menandakan bahawa si manja mendapat susu yang mencukupi.

Susu Ibu

Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk (di bawah peti sejuk beku) selama 3 hari (72 jam) dan dalam peti sejuk beku (-20 darjah celcius) selama setahun.

Suasana Di Rumah Mempengaruhi Tingkah Laku Anak

Saiz keluarga mempengaruhi tingkah laku dan sikap kanak-kanak. Contohnya anak tunggal yang biasanya mendapat layanan yang lebih daripada ibubapa, mengharapkan orang lain juga member layanan yang istimewa kepadanya. Jika tidak, dia akan cepat marah dan benci pada orang yang kurang member perhatian istimewa kepadanya.
Tingkah laku sosial dan sikap yang ditunjukkan kanak-kanak boleh membayangkan bentuk layanan yang diterima di rumah. Kanak-kanak yang mendapat layanan yang baik dan sempurna akan bersikap demikian juga dengan orang luar. Oleh itu perhubungan dengan ahli keluarga boleh membentuk sikap kanak-kanak terhadap orang luar. Sebaiknya jikalau kanak-kanak itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapanya, dia akan mempunyai sikap yang tidak baik juga terhadap orang luar.

Ahad, 10 Julai 2011

Klik...Klik...Klik



PERKEMBANGAN PESAT OTAK JANIN

Ibu hamil perlu meneruskan diet yang seimbang sewaktu hamil kerana pada ketika ini perkembangan pesat sedang berlaku pada janin.
Boleh dikatakan, separuh daripada penambahan berat badan ibu sewaktu hamil berlaku pada bulan ke-6 dan ke-7. Ibu hamil yang mengalami kekurangan nutrient pada usia kehamilan ini, boleh menjejaskan kandungannya. Keperluan nutrient pada trimester kedua dan ketiga perlu diberi perhatian kerana ia mempunyai kaitan yang rapat terhadap perkembangan otak janin. Pada usia kehamilan 15-20 minggu, otak janin mengalami pertumbuhan yang amat pesat. Sewaktu kehamilan minggu ke30 hingga bayi berusia 18 bulan, otaknya akan mengalami fasa pertumbuhan pesat yang kedua. Ibu yang hamil pada trimester kedua dan ketiga, memerlukan lebih nutrien penting berbanding trimester pertama.
Antaranya ialah :

1. Kalori
Tubuh memerlukan tambahan 285 kalori setiap hari dibandingkan waktu sebelum hamil. Ketika trimester ke-2, berat badan akan meningkat setengah kg setiap minggu. Pada akhir bulan kehamilan, pengambilan karbohidrat (50-60 peratus daripada jumlah kalori) diperlukan supaya ibu bertenaga untuk proses bersalin.

2. Protein


Penting untuk pertumbuhan janin dan plasenta bagi memenuhi keperluan bekalan darah merah. Keperluan protein boleh didapati daripada sumber haiwan seperti daging, ikan,telur dan tumbuhan seperti tempe, tauhu dan kekacang.

3. DHA- Docosahexaenoic Acid


Ibu hamil perlukan DHA yang berterusan sepanjang tempoh kehamilan untuk janin dan paling kritikal pada trimester ketiga. DHA biasanya diperoleh dari ikan seperti ikan salmon, hering, tuna dan mackerel. Elakkan daripada menggoreng atau masak lama. Cara terbaik ialah dengan mengukus. Selain daripada itu, rumpai laut seperti spirulina, bayam kacang soya dan kekacang merupakan sumber terbaik.

4. Zat Besi
Zat besi penting dalam pembinaan darah. Tanpa zat besi, sel-sel darah merah akan kekurangan haemoglobin. Kekurangan darah ini akan member kesan buruk kepada ibu dan janin. Sumber terbaik zat besi berasaskan makanan adalah hati ayam dan lembu, tiram, kerang, dan daging tanpa lemak. Kacang dan sayur segar turut merupakan sumber zat besi yang baik.

5. Asid Folik


Bahan ini adalah untuk perkembangan sistem saraf bayi terutama dalam beberapa minggu pertama. Maka adalah penting untuk mendapatkan bekalan asid folik yang mencukupi. Sayur-sayuran hijau gelap seperti brokoli dan bayam merupakan sumber baik bagi asid folik. Sebaiknya sayur-sayuran ini dikukus atau dimakan mentah untuk mengekalkan vitaminnya.

6. Kalsium


Zat makanan ini penting untuk memastikan perkembangan tulang yang sihat dan asas gigi yang kuat. Kita akan memerlukan kmira-kira 2 kali ganda kalsium berbanding sebelum kehamilan. Sumber yang baik bagi zat ini termasuk keju, susu, dadih, ikan bilis dan sayuran berdaun hijau.

7. Vitamin B6
Pada trimester ketiga, tubuh ibu hamil memerlukan lebih banyak vitamin B6, dibandingkan sebelum hamil. Ini diperlukan untuk membentuk protein daripada asod amino, darah merah, saraf otak, dan otot-otot tubuh. Makanan yang kaya dengan vitamin B6 ini ialah ikan dan jangan lupa mengambil sumber omega -3 yang banyak terkandung dalam daging ikan tuna dan salmon. Omega-3 ini penting pada perkembangan otak dan retina bayi.

Rabu, 6 Julai 2011

ELAK TERKENA JANGKITAN CACING

Masalah cacing bukan perkara baru bagi bayi. Biarpun Nampak mudah tapi tahukah kita bahawa jangkitan cacing pada kanak-kanak akan mengakibatkan kanak-kanak hilang selera makan. Akibatnya anak akan kekurangan berat badan. Empat perkara di bawah petanda anak diserang jangkitan cacing:

1. Kanak-kanak mudah demam dan jangkitan penyakit lain seperti bengkak kalenjar dan sebagainya.
2. Kurang selera makan dan berat badan menurun.
3. Pertumbuhan terencat.
4. Sistem ketahanan badan kurang dan mudah diserang penyakit seperti selsema, demam dan sebagainya.

Sabtu, 2 Julai 2011

KAEDAH ATASI MASALAH PENYUSUAN


Ramai ibu menyusu mengalami kesukaran sewaktu menyusukan bayi. Namun masalah ini dapat diatasi. Kekurangan maklumat serta sokongan dari orang terdekat menyebabkan ibu mengalah dan putus asa untuk terus menyusukan bayi. Di sini ada beberapa kaedah untuk mengatasi masalah ini untuk dikongsi bersama.

Puting Sakit & Merekah

Bagi mengatasi masalah ini anda digalakkan :
 Setiap kali berasa sakit tuam tuala panas atau balutan ketulan ais pada putting.
 Biarkan putting terdedah. Jika boleh dedahkan payu dara pada cahaya matahari beberapa minit setiap hari.
 Sewaktu putting sakit dan merekah elakkan menyapu krim atau losyen payu dara.
 Jangan sesekali membersihkan putting payu dara dengan sabun
 Perah sedikit susu secara manual dan sapukan pada putting dan biarkannya kering dengan sendiri.
 Mulakan menyusu dengan putting yang kurang sakit. Apabila susu mula keluar, tukar kepada puting berikutnya.


Bengkak Susu atau mastitis

Ini adalah satu lagi masalah biasa yang berlaku ketika menyusu. Hal ini terjadi apabila satu atau lebih saluran susu tersumbat. Keadaan ini boleh menyebabkan ibu demam. Antara punca berlaku masalah ini ialah bayi tidak menyusu dalam kedaan yang betul atau ibu memakai baju dalam yang ketat dan mempunyai dawai penyokong. Penyelesaiannya ialah tuam payu dara dengan air suam dan urut perlahan-lahan. Setelah itu susukan bayi pada bahagian payu dara yang bengkak. Kesakitan akan terasa, namun ibu perlu bertenang dan teruskan menyusu dalam jangkamasa yang lebih panjang. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan masalah bengkak susu.

Tidak Cukup Susu

Kadangkala ibu beranggapan pengaliran susunya kurang dan tidak mencukupi untuk bayi. Jika ibu rasa susunya kurang, masalah tersebut boleh diatasi dengan:
 Menyusu dengan lebih kerap. Amalan ini secara tidak langsung akan merangsang pengaliran susu menjadi lebih banyak.
 Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang
 Jika susu tetap kurang, berikan susu tambahan (hanya untuk waktu kecemasan sahaja) menggunakan sudu, cawan atau penitis ubat. Ibu perlu menyusu sekurang-kurang dua jam sekali dan berikan susu tambahan selepas penyusuan kali kedua.

Puting rata atau tenggelam

Ibu yang mempunyai puting rata atau tenggelam masih boleh menyusu kerana yang penting mulut dan gusi mesti mencakupi aerola. Akan tetapi terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk memastikan puting tersembul keluar. Antaranya ialah :

 Kaedah cubitan aerola iaitu dengan memicit aerola menggunakan ibujari dan telunjuk. Teknik ini akan membantu puting menonjol secara normal.
 Memakai baju dalam yang telah dipotong kecil dibahagian hujungnya. Lama kelamaan puting akan keluar dengan sendirinya. Seelok-eloknya pakai baju dalam yang sebegini setiap hari.
 Menggunakan dua picagari dan tiub kecil dan menyambungkan tiub diantara dua picagari. Salah satu picagari diletakkan pada payu dara dan satu lagi picagari digunakan untuk menyedut udara. Ulangi beberapa kali setipa hari.

Susu Meleleh

Masalah susu meleleh adalah disebabkan payu dara penuh dengan susu. Untuk menghentikan lelehan ini anda perlu :
 Tekan tapak tangan anda pada puting antara seminit hingga dua minit.
 Gunakan lapisan kain yang bersih atau sapu tangan untuk diletakkan di dalam baju dalam anda. Tukar kain tersebut setiap kali ia lembab.
 Anda juga boleh mencegah masalah ini dengan memerah susu dengan lebih kerap.

Susu Kelihatan Lebih Cair

Cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan memberikan susu sebelah payu dara sahaja setiap kali menyusu. Cara ini dapat memastikan bayi menerima semua peringkat susu ibu iaitu susu pertama (bewarna seperti air biasa iaitu menghilangkan dahaga. Pertengahan (mengandungi banyak khasiat protein) dan akhir (kelihatan lebih pekat kerana kaya dengan khasiat lemak). Dalam pada itu cara ini juga dapat membantu bayi yang kurang berat badan menambahkan berat badannya.

Susu Mengalir Pantas

Bayi mungkin tersedak kerana susu mengalir terlalu pantas. Anda boleh melakukan perkara berikut :
 Hentikan penyusuan selama seminit. Apabila pengaliran susu semakin perlahan, masukkan semula puting ke mulut bayi.
 Perah susu terlebih dahulu bagi mengeluarkan pengaliran susu yang pantas sebelum menyusu bayi.
 Menyusu dalam keadaan berbaring dan meletakkan bayi di atas dada. Keadaan ini menyebabkan bayi menghisap melawan arah gravity, jadi pengaliran susu naik ke atas menjadi agak lambat berbanting pengusuan secara duduk.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...